Perasmian Ladang MAIPk Sungkai

SUNGKAI – Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Dr Amiruddin b. Muhamed telah merasmikan tuaian pertama buah kelapa sawit di ladang MAIPk Sungkai (Wakaf Saraan Masjid) pada 21 September 2016.  Tuan Haji Mohamd Tarmizi b. Taib, Ketua Pegawai Eksekutif PKEINPk Sdn Bhd (PSB) dan Dato’ Haji Shoib b. Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah PSB turut sama hadir dalam majlis tersebut.

               Tanah ini merupakan tanah yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan bagi tujuan saraan masjid-masjid seluruh negeri Perak.  Tanah ini telah didaftarkan atas nama MAIPk pada 12 April 2013 selaku pemegang amanah tunggal bagi semua harta wakaf seluruh negeri Perak menurut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.

               Dr. Amiruddin b. Muhamed bersama tetamu jemputan lain telah dibawa melawat sekitar ladang tersebut.  Beliau secara simbolik turut menyempurnakan tuaian Buah Tandan Segar (BTS) pertama bagi ladang ini.  Ladang yang berkeluasan 1,850 Ekar ini dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit oleh anak syarikat MAIPk, PSB sesuai dengan kepakaran dan pengalaman luas PSB dalam bidang perladangan.  PSB telah memulakan projek ini mulai Ogos 2013 dengan tanaman pertama pada tahun 2014 dalam anggaran 120 pokok seHektar.  Hasil keuntungan bersih dari ladang ini yang diserahkan kepada MAIPk akan dimasukkan ke dalam Tabung Amanah Masjid Negeri Perak yang ditadbir sepenuhnya oleh MAIPk untuk diagihkan kepada masjid-masjid berdasarkan keperluan dan keutamaan.